Monday, October 24, 2011

NSC, NSI TAKEN TO TASK BY AUDITOR GENERAL

The Auditor General Report for 2010 has been released today. I suggest that sports officials and administrators take a look at the findings.

Below is just part of the report:

4.2    OBJEKTIF PENGAUDITAN

Pengauditan ini dijalankan untuk menilai sama ada pengurusan geran sukan telah dirancang dan dilaksanakan secara cekap dan teratur selaras dengan objektif yang ditetapkan.

4.3    SKOP DAN METODOLOGI PENGAUDITAN

Pengauditan ini meliputi aspek pengurusan pemberian geran sukan kepada Persatuan Sukan Kebangsaan dan Program Sukan bagi tahun 2008 hingga 2010. Pengauditan dijalankan dengan menyemak rekod dan dokumen yang berkaitan termasuk penyata kewangan serta rekod Persatuan Sukan yang dipilih. Persatuan Sukan yang berkenaan adalah Persatuan Kongres Tenpin Boling Malaysia, Persatuan Golf Malaysia, Persatuan Skuasy Malaysia, Majlis Olimpik Malaysia, Persekutuan Gimnastik Malaysia, Persatuan Pelayaran Malaysia dan Kesatuan Olahraga Malaysia. Di samping itu, lawatan Audit dan temu bual dengan pegawai MSN turut diadakan.

4.4    PENEMUAN AUDIT

Pengauditan yang dijalankan antara bulan Oktober hingga Disember 2010 mendapati beberapa kelemahan dalam pengurusan geran sukan kepada Persatuan Sukan Kebangsaan. Antara kelemahan yang diperhatikan adalah kelewatan membuat pembayaran kepada Persatuan Sukan Kebangsaan; garis panduan pemberian geran sukan tidak disediakan dengan lengkap; perbelanjaan bagi program World Endurance Championship 2008 diluluskan oleh pegawai yang tidak mempunyai kuasa; rundingan terus perolehan dilaksanakan tanpa kelulusan Kementerian Kewangan; perolehan kuda untuk kejohanan World Endurance Championship 2008 tidak mencapai objektifnya; geran pendahuluan sirkuit yang dibatalkan tidak dipulangkan sepenuhnya dan pemantauan prestasi pemberian geran sukan tidak memuaskan. Penjelasan lanjut mengenai kelemahan yang dibangkitkan adalah seperti berikut:

4.4.1    Pengurusan Geran Sukan

Peruntukan geran sukan untuk sesuatu tahun dirancang berdasarkan program sukan yang akan dilaksanakan oleh MSN dan kesemua Persatuan Sukan Kebangsaan. Bahagian Atlet bertanggungjawab untuk mengurus pemberian geran sukan kepada Persatuan Sukan Kebangsaan. Dari tahun 2008 hingga 2010, sejumlah RM215.41 juta telah diluluskan oleh Jawatankuasa Bantuan MSN untuk diagihkan kepada Persatuan Sukan Kebangsaan yang terlibat.

4.4.1.1    Pemberian Geran Kepada Persatuan Sukan Kebangsaan

Kementerian Belia dan Sukan telah menyalurkan peruntukan program penyediaan atlet di bawah Kumpulan Wang Amanah Sukan berjumlah RM236.50 juta kepada MSN dari tahun 2008 hingga 2010. MSN telah membelanjakan sejumlah RM208.30 juta atau 88.1% daripada jumlah peruntukan yang diterima. Peruntukan geran sukan untuk sesuatu tahun dirancang berdasarkan program sukan yang akan dilaksanakan oleh MSN dan Persatuan Sukan Kebangsaan. Di MSN, Bahagian Atlet bertanggungjawab untuk mengurus pemberian geran sukan kepada Persatuan Sukan Kebangsaan. Setiap Persatuan Sukan Kebangsaan perlu mengemukakan permohonan geran sukan kepada MSN berdasarkan program kejohanan atau program latihan yang telah dirancang. MSN akan membincangkan permohonan tersebut dalam mesyuarat Jawatankuasa Kerja dan Jawatankuasa Program bagi menyemak program yang dicadangkan oleh Persatuan Sukan Kebangsaan. Seterusnya,
permohonan tersebut dikemukakan kepada Jawatankuasa Bantuan (JKB) yang dipengerusikan oleh Ketua Pengarah MSN bagi membincangkan dan meluluskan peruntukan yang dipohon. Peruntukan yang diluluskan dalam JKB akan dimaklumkan kepada Persatuan Sukan Kebangsaan. Dari tahun 2008 hingga 2010, sejumlah RM215.41 juta telah diluluskan oleh Jawatankuasa Bantuan untuk diagihkan kepada Persatuan Sukan Kebangsaan yang terlibat melalui Bahagian Atlet.

4.4.4    Geran Program Binaan Atlet

Bahagian Pelapis MSN bertanggungjawab untuk mengenal pasti bakat dan menyediakan latihan atlet daripada peringkat pembangunan kepada peringkat elit. Bahagian ini telah diperuntukkan sejumlah RM79.70 juta dari tahun 2008 hingga 2010 dan telah membelanjakan sejumlah RM79.90 juta sehingga akhir tahun 2010. Semakan Audit mendapati MSN telah memperuntukkan sejumlah RM3.65 juta bagi Program Binaan Atlet pada tahun 2008. Bagaimanapun, peruntukan tersebut tidak digunakan untuk tujuan asal sebaliknya sejumlah RM2.25 juta atau 61.6% telah dibelanjakan bagi membiayai pengiklanan mempromosikan sukan teras di media elektronik dan cetak kepada penonton.

Pada pandangan Audit, MSN hendaklah menggunakan geran yang diperuntukkan untuk Program Binaan Atlet bagi mencapai matlamat yang ditetapkan. Peruntukan sepatutnya digunakan untuk aktiviti pembangunan atlet pelapis dan bukan untuk membiayai pengiklanan.

4.4.5    Pemantauan

Pemantauan adalah penting bagi memudahkan pihak pengurusan mengenal pasti kelemahan dan masalah pada peringkat awal serta mengambil tindakan segera bagi menyelesaikannya. Semakan Audit mendapati perkara berikut:

a. Mesyuarat Jawatankuasa Bantuan pada bulan April 2009 telah bersetuju mewujudkan Unit Pemantauan untuk memantau Persatuan Sukan Kebangsaan yang menerima geran sukan. Unit tersebut masih belum ditubuhkan sehingga akhir tahun 2010. MSN memaklumkan unit tersebut baru ditubuh dan bermesyuarat pada 5 April 2011.

b. Semua program dan perbelanjaan sukan yang menggunakan geran hendaklah dibentangkan dalam mesyuarat Lembaga Pengarah MSN. Bagaimanapun, laporan prestasi tersebut tidak dibentang dalam mesyuarat Lembaga Pengarah MSN kerana tidak dikemukakan oleh Persatuan Sukan Kebangsaan.

c. MSN tidak memantau prestasi program dan perbelanjaan geran sukan yang diberi kepada Persatuan Sukan Kebangsaan bagi memastikan geran yang dibelanja mengikut permohonan yang diluluskan.

Pada pandangan Audit, MSN perlu membuat pemantauan bagi memastikan Persatuan Sukan Kebangsaan membelanjakan geran yang diberi untuk tujuan yang ditetapkan. Sehubungan itu, satu Unit Pemantauan yang baru ditubuh hendaklah bertanggungjawab memantau pelaksanaan program latihan dan kejohanan dalam dan luar negara.

4.5    RUMUSAN DAN SYOR AUDIT

Secara keseluruhannya, pengurusan geran sukan MSN tidak diurus dengan baik. Sehubungan itu, MSN perlu mengambil tindakan terhadap kelemahan yang dibangkitkan. Pihak Audit mengesyorkan perkara berikut:

4.5.1    Peruntukan geran sukan hendaklah dirancang berdasarkan program sukan yang akan dilaksanakan oleh MSN dan Persatuan Sukan Kebangsaan supaya peruntukan yang disediakan mencukupi.

4.5.2    Garis Panduan dan prosedur kerja terhadap pemberian geran sukan perlu disediakan untuk membantu pegawai dan pihak tertentu melaksanakan tugas dengan cekap dan sistematik.

4.5.3    Memastikan Persatuan Sukan Kebangsaan mengemukakan tuntutan sebaik sahaja sesuatu kejohanan selesai.

4.5.4    Memastikan perolehan secara rundingan terus hendaklah mendapat kelulusan Kementerian Kewangan.

4.5.5 MSN hendaklah memastikan setiap Persatuan Sukan Kebangsaan mengemukakan Penyata Kewangan beraudit untuk memantau program yang dilaksana mengikut geran yang diberi.